'Callum Hudson-Odoi Layak Untuk Mendapatkan Peluangnya Di Chelsea' - Jimmy Floyd Hasselbaink




Persembahan Callum Hudson-Odoi untuk Chelsea dan England sudah cukup untuk menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama pasukan, menurut Jimmy Floyd Hasselbaink.
Bekas bintang sensasi The Blues itu percaya pemain berusia 18 tahun tersebut selayaknya mendapat peluang untuk bermula dalam pasukan Maurizio Sarri selepas kebanyakan masa bermainnya musim ini adalah pada aksi perlawanan Piala FA dan Liga Eropah.
Dia diletakkan dalam kesebelasan utama untuk pasukan England oleh Gareth Southgate dalam kemenangan bergaya 5-1 menewaskan Montenegro pada Isnin lalu dalam perlawanan kelayakan Euro 2020.
Ia merupakan penampilan keduanya buat pasukan kebangsaan dalam tempoh satu minggu, selepas melakukan debutnya sebagai pemain gantian Jumaat lalu dalam kemenangan 5-0 England ke atas Czech Republic di Wembley, walaupun dia belum pernah bermula untuk Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Dan kini Hasselbaink menggesa bekas pasukannya itu memberikan peluang buat Hudson-Odoi untuk turun beraksi dalam saingan Liga.
"Ia berkemungkinan bahawa dia mampu membawa pasukan ke arah yang lain dan memberikan mereka dimensi yang berbeza,"dia memberitahu BBC Sport.
"Chelsea perlu membawa masuk lebih banyak pemain muda. Saya perlu katakan yang Hudson-Odoi layak mendapatkan peluang.
"Anda perlu katakan ya, dia perlu diberi peluang, kerana pemain yang lain di posisinya tidak bermain dengan baik buat masa ini.
"Satu-satunya yang mempamerkan aksi terbaiknya - dalam tujuh, lapan, atau kadangkala sembilan- adalah Eden Hazard."
Chelsea kini berada di kedudukan ke-6 di bawah Sarri, dengan pengurus itu berada dalam keadaan tertekan selepas beberapa persembahan yang buruk yang meletakkan pasukan itu dalam risiko untuk tidak bermain di Liga Juara-juara musim hadapan.
Perkara itu telah meletakkan situasi pengurus itu dalam bahaya, dan kegagalannya untuk menurunkan Hudson-Odoi dalam kesebelasan utamanya akan menyebabkan pemain muda itu akan memaksa untuk perpindahan keluar dari Stamford Bridge. Bayern Munich sudahpun membuat tawaran rasmi yang telah ditolak pada bulan Januari yang lalu.
"Ianya mudah untuk memperkatakan sesuatu dan mengkritik, tetapi cuba untuk ingat apa yang dia warisi dan bagaimana pasukan itu bermain sebelum ketibaannya," sambung bekas penyerang Belanda itu.
"Dia mengubah sistem itu secara keseluruhannya dan ia akan mengambil masa.
"Mengenai konsistensi, dia akan berasa sedikit kecewa. Mereka sepatutnya lebih baik.
"Tetapi ia adalah musim pertamanya di England dan dia masih belajar. Dia telah membawa banyak perkara positif kepada Chelsea. Jadi itu tidak boleh dilupakan."