Firmino Menjaringkan Gol Pertama, Liverpool Tewas Sepakan Penalti, 6 Perkara Yang Dapat Diperhatikan...





Liverpool tewas dalam perlawanan akhir 'Audi Cup' menentang Athletico Madrid menerusi sepakan penalti. Kedua-dua pasukan tersebut terikat dengan jaringan 1-1 dan membawa perlawanan kepada sepakan penalti. Athletico memenangi sepakan penalti tersebut dengan jaringan 5 berbalas 4 di mana kapten Liverpool, Jordan Henderson tidak berjaya menjaringkan gol. Enam perkara yang dapat diperhatikan menerusi perlawanan ini.

Firmino Berjaya Menjaringkan Gol Pertamanya Musim Ini
Sepanjang pramusim ini, Penyerang utama Liverpool yang menyarung jersi baru musim ini dengan nombor 9 telah melakukan aksi dan penampilan yang cemerlang. Meskipun begitu, dia tidak pernah menjaringkan gol sepanjang penampilannya di perlawanan pramusim. Dengan kegagalan beberapa penyerang Liverpool bernombor 9(selepas Torres) sebelum ini, ramai sudah mula risau keadaan tersebut juga berlaku untuk Firmino. Tetapi pada aksi malam ini, dia telah berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang dapat mengikat Athletico ke sepakan penalti bagi penentuan pemenang. Diharapkan Firmino akan dapat menjaringkan gol yang banyak buat Liverpool pada musim hadapan. 

Solanke atau Origi?
Dominic Solanke telah diberikan peluang untuk memulakan perlawanan hari ini di barisan hadapan dan dapat beraksi dengan baik. Namun disebabkan babak pertama perlawanan mempunyai tempoh yang sangat perlahan, maka lama kelamaan Solanke semakin tenggelam. Bermula babak kedua, Solanke digantikan dengan Divock Origi yang dapat membantu mendapatkan sepakan penalti buat Liverpool yang disempurnakan oleh Firmino. Origi banyak menunjukkan impak positif dalam perlawanan ini dengan melakukan larian-larian yang dapat memberi tekanan kepada pemain lawan. Dengan kecederaan baru yang dialami oleh Sturridge, maka dua penyerang muda ini akan berebut tempat untuk menjadi penyerang kedua selepas Firmino.

Impak Ketiadaan Coutinho Dirasai
Dengan ketiadaan Coutinho, bahagian serangan tidak dapat dilakukan dengan lancar kerana kurangnya hantaran-hantaran menarik atau magic seperi mana yang dilakukan oleh Coutinho dalam perlawanan sebelum ini. Dengan ketiadaannya, Woodburn digunakan namun tidak dapat menghidupkan perlawanan dengan sempurna. Coutinho bersama-sama Salah direhatkan untuk perlawanan malam ini bagi memberi peluang mereka untuk mendapatkan rehat yang cukup dan bagi mengelak sebarang kecederaan berlaku lagi kepada pemain-pemain utama pasukan bimbingan Klopp. Dengan khabar tentang perpindahan ke Barcelona, diharapkan Coutinho akan tetap berada di Liverpool kerana dia adalah nadi utama dalam pasukan itu buat masa ini. 

Athletico Menguasai Permainan dan Organisasi Pertahanan Yang Baik
Sepanjang perlawanan berlangsung, pemain Athletico bermain dengan cukup cemerlang sama ada dalam penguasaan bola ataupun semasa melakukan pertahanan. Di sini dapat dilihat betapa susahnya Liverpool untuk memecahkan pertahanan lawan yang disusun dengan baik. Athletico berjaya menjaring gol pada babak pertama perlawanan menerusi satu gerakan yang menarik. Walaupun tanpa ada pemain baru yang didatangkan ke kelab ini, namun mereka masih mampu membuktikan bahawa mereka adalah antara kelab terbaik di Eropah. Pertahanan Athletico hanya dibolosi menerusi sepakan penalti Firmino yang diberikan apabila Origi dijatuhkan di dalam kotak penalti mereka. Untuk Liverpool, adalah penting untuk mereka mencari cara untuk menewaskan pasukan yang mempunyai corak pertahanan yang kental seperti yang ditunjukkan Athletico dalam perlawanan ini, Kerana pada musim lalu, situasi seperti inilah yang telah menyebabkan Liverpool banyak tercicir mata.

Torres Masih Belum Berjaya Menjaringkan Gol Menentang Liverpool
Torres adalah bekas penyerang sensasi Liverpool yang menggunakan jersi bernombor 9(sekarang Firmino). Zaman kegemilangan Torres bersama kapten pasukan Liverpool iaitu Steven Gerrard sentiasa menjadi ingatan buat semua peminat Liverpool itu. Torres telah berpindah dari Liverpool ke kelab musuh mereka sendiri iaitu Chelsea dengan menjadi rekod pembelian termahal pemain Chelsea pada masa itu. Sepanjang bermain di Chelsea, Torres telah memenangi beberapa gelaran termasuklah Liga Juara-juara dan Juara Liga Inggeris yang tidak pernah dimenangi ketika bersama Liverpool. Namun selama pertemuan menentang Liverpool, pemain tersebut masih gagal untuk menjaringkan gol hinggalah ke perlawanan pada hari ini. Torres adalah salah satu penendang penalti bagi Athletico dan berjaya menyempurnakan tugas tersebut dengan baik.

Liverpool Meneruskan Rekod Pramusim Tanpa Kalah
Lawatan pramusim Liverpool pada kali ini mempunyai rekod yang baik selepas kelab tersebut tidak pernah menerima kekalahan, hanya menang dan seri. Mereka menunjukkan peningkatan secara berpasukan sama ada melakukanpertahanan dan juga serangan. Pada perlawanan menentang Athletico ini juga, Liverpool berjaya menghabiskan 90 minit dengan kedudukan 1-1 dan hanya tewas menerusi sepakan penalti. Diharapkan rekod ini akan memberikan motivasi kepada semua pemain untuk melangkah ke musim baru dengan lebih bersedia.