Bergu Wanita Utama Negara Telah Bersedia Untuk Sukan Sea





PETALING JAYA: Regu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei mendapat suntikan tonik untuk menghadapi Sukan SEA 2017 (KL2017) pada minggu depan apabila merangkul kejuaraan Terbuka New Zealand pada Ahad.

Lebih manis lagi, kejayaan tersebut dicipta ke atas regu Jepun, Ayako Sakuramoto dan Yukiko Yakahata, sekali gus memberi kelebihan moral besar buat regu negara memburu emas di temasya KL2017.

Ternyata pertarungan di New Zealand menjadi medan terbaik yang buat Vivian dan Khe Wei mempamerkan kegigihan mreka untuk mengheret regu Jepun tersebut ke set ketiga walaupun tewas pada set pertama sebelum bangkit mengikat kedudukan pada set seterusnya.

Dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 38 minit itu ,regu negara tewas 18-21 pada set pertama tetapi bangkit dengan aksi lebih bertenaga apabila menundukkan Ayako dan Yukiko dengan kemenangan 21-16.

Set ketiga menyaksikan semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh Vivian dan Khe Wei walaupun satu ketika ketinggalan lima mata di belakang regu Jepun tersebut tetapi berjaya merapatkan jurang di awal set penentuan itu.

Ketika gelaran juara seakan-akan menjadi milik Jepun selepas Ayako dan Yukiko mendahului 19-16 di set penentuan, regu negara sekali lagi tampil dengan kejutan apabila mengutip lima mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan bergaya 21-19.

Skuad badminton negara menggalas misi penting untuk menyumbang pingat emas pada temsya KL2017 dan pasangan Vivian dan Khe Wei antara yang diharapkan menjelmakan kilauan emas buat negara.
Acara badminton KL2017 akan bermula 22 Ogos sehingga 29 Ogos depan.

Sumber : mstar