8 BINTANG BOLASEPAK DUNIA BERASAL DARI ASIA TENGGARA. SIAPAKAH MEREKA?




Di sebalik kemeriahan bolasepak dunia, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat sekelompok kecil pemain-pemain Asia Tenggara yang mewarnai liga-liga utama di Eropah.
Ada antaranya yang telah mewakili pasukan kebangsaan Eropah dan merupakan bintang untuk kelab serta pasukan kebangsaan mereka sendiri.
Sempena bermulanya liga-liga utama Eropah dalam tempoh beberapa minggu ini, berikut disenaraikan pemain-pemain Asia Tenggara tersebut.

1. Radja Nainggolan

Dilahirkan di Antwerp, Belgium, ayahnya berbangsa Indonesia, sementara ibunya berketurunan Belgium.
Pada usia 17 tahun, Radja telah berhijrah ke Itali dan memulakan karier bolasepaknya dengan Piacenza sebelum menyertai pasukan Seria A, Cagliari pada tahun 2010.
Pemain AS Roma ini, pada usia mudanya, pernah ditawarkan mewakili Indonesia, tetapi dia telah memutuskan untuk mewakili pasukan Belgium pada tahun 2009.

2. David Alaba

Lahir di Vienna, Austria pada tahun 1992. Berdarah kacukan Nigeria (ayah) dan Filipina (ibu), iaitu campuran gen yang jarang berlaku.
Memulakan karier bolasepak di Austria sebelum bakatnya dicungkil oleh Bayern Munich pada musim panas tahun 2008.
Alaba telah memutuskan untuk menyarung jersi kebangsaan Austria walaupun layak bermain untuk pasukan Nigeria dan Filipina.

3. Yohan Cabaye

Siapa tidak kenal dengan Yohan Cabaye, bintang bolasepak Perancis yang telah membuat debut profesionalnya bersama pasukan Lille pada tahun 2004.
Beliau kemudiannya telah membuat 191 penampilan dan menjaringkan 31 gol, memenangi kejuaraan Ligue 1 dan Coupe de France bersama Lille pada musim 2010/11.
Perancang tengah berusia 31 tahun ini, dalam wawancara dengan beberapa media Perancis, menyatakan bahawa beliau mempunyai darah keturunan Vietnam melalui neneknya.
Bekas pemain Paris Saint-Germain dan Newcastle United yang telah bermain sebanyak 48 kali dengan pasukan kebangsaan Perancis ini.
Kini bermain untuk pasukan Crystal Palace di Liga Perdana Inggeris.

4. Dion Cools

Lahir di Kuching, Sarawak. Ayahnya berketurunan Belgium, dan ibunya seorang rakyat Malaysia. Selepas berkahwin 20 tahun lepas, ayah Dion membawa isterinya berhijrah ke Belgium.
Pemain pertahanan berusia 20 tahun ini menghabiskan karier remajanya di beberapa kelab Belgium sebelum memulakan debut profesional bersama Oud-Heverlee Leuven pada 2014.
Selepas semusim bersama Leuven, Dion berhijrah ke Club Brugge KV pada 2015. Dion telah beraksi dengan pasukan Bawah 18, 19 dan 20 Belgium di peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun dia masih layak untuk bermain dengan Malaysia kerana belum pernah bermain untuk pasukan senior Belgium.

5. Nigel De Jong

De Jong berasal dari keturunan Surinam – Belanda; ayahnya keturunan Surinam dan Belanda – Indonesia dari ibunya.
Digelar sebagai ‘The Destroyer’ (pemusnah), De Jong kini sedang bermain untuk kelab Galatasaray S. K. di liga Turki.
Telah mengecapi beberapa kejayaan bersama kelab-kelab besar Eropah, iaitu Ajax Amsterdam, Manchester City dan AC Milan.
Beliau memenangi liga Eredivisie bersama Ajax pada musim 2003/04 dan juara Liga Perdana Inggeris dengan Manchester City musim 2011/12.
Pemain tengah berusia 32 tahun ini telah mewakili Belanda sebanyak 81 kali. Membuat dua kemunculan di EUFA Euro (2008, 2012) dan dua Piala Dunia (2010, 2014).

6. Alphonse Areola

Penjaga gol berusia 24 tahun ini layak bermain untuk pasukan kebangsaan Filipina, kerana ibu bapanya berketurunan Filipina.
Pada tahun 2011, Areola telah ditawarkan oleh pengurus pasukan, Dan Palami untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Filipina.
Areola kini bermain untuk pasukan naib juara Ligue 1 musim lepas, Paris Saint-Germain.
Mewakili Perancis dalam semua peringkat umur remaja dan merupakan sebahagian daripada pasukan Bawah 20 Perancis yang telah memenangi Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun 2013.
Digugurkan dari pasukan senior Perancis setelah mengalami kecederaan buku lali semasa sesi pemilihan pasukan untuk persediaan persahabatan antarabangsa dan kelayakan Piala Dunia 2018.

7. Shaun Maloney

Maloney, dilahirkan di Miri, Sarawak pada 24 Januari 1983 sebelum mengikuti ibu bapanya yang berbangsa British kembali ke Scotland ketika dia berusia 5 tahun.
Pemain tengah/sayap berusia 34 tahun tang masih mempunyai kontrak dengan pasukan Hull City.
Menyatakan bahawa dia mempunyai peluang untuk bermain dengan negara kelahirannya, tetapi tidak pernah menerima tawaran dari Malaysia.
Membuat penampilan penuh bersama pasukan kebangsaan Scotland pada tahun 2005.
Maloney sangat dikenali semasa berada di Liga Scotland, bermain bersama pasukan Celtic selama 11 musim, menjaringkan 52 gol dalam 215 penampilan.

8. John Heitinga

Dilahirkan pada 15 November 1983 di Alphen aan den Rijn, pemain pertahanan ini mula mencuri tumpuan selepas penampilan sulungnya bersama pasukan kebangsaan pada tahun 2004.
Produk kelahiran pasukan remaja Ajax Amsterdam, Heitinga mengecapi beberapa kejayaan menjuarai liga Eredivisie dan beberapa kejayaan lain bersama pasukan senior Ajax Amsterdam.
Kelab lain yang pernah diwakili oleh Heitinga ialah Atletico Madrid, Everton, Fulham dan Hertha Berlin.
Telah membuat 87 penampilan bersama pasukan senior Belanda termasuk dua penampila di kejohanan UEFA Euro (2004, 2008) dan Piala Dunia (2006, 2010).
Pemain bolasepak terbaik Belanda 2008 ini mendedahkan bahawa dia mempunyai keturunan Indonesia melalui bapanya yang mempunyai darah keturunan Sumatera.