Arsenal Pasukan Pilihan Untuk Menangi Liga Eropah - Pengurus Valencia, Marcelino




Pengurus Valencia Marcelino menegaskan bahawa tekanan akan terarah kepada Arsenal menjelang pertemuan pasukannya menentang The Gunners dalam perlawanan separuh akhir Liga Eropah.
Toni Lato dan Dani Parejo menjaringkan gol untuk The Los Che yang menyaksikan mereka menewaskan Villareal 2-0 pada Khamis untuk menempah tempat di separuh akhir dengan kemenangan agregat 5-1.
Marcelino tidak begitu tertarik dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan pusingan pertama, tetapi sangat berpuas hati dengan persembahan dominasi mereka di perlawanan kedua suku akhir di Mestalla.
Pertembungan separuh akhir menentang Arsenal - yang diketuai oleh bekas juara tiga kali Liga Eropah dan bekas pengurus Valencia Unai Emery - adalah ganjaran buat mereka, dan Marcelino menegaskan pasukan Liga Perdana itu boleh dikatakan sebagai pasukan pilihan.
"Arsenal berjuang untuk layak ke Liga Juara-juara, dengan jurulatih yang mengenali kami dengan baik, mereka adalah salah satu pasukan pilihan," kata Marcelino kepada sidang media.
"Tetapi apa-apa sahaja boleh berlaku di separuh akhir. Pada masa yang sama, perlawanan akhir di Baku adalah satu perjalanan yang jauh."
Valencia mengalami permulaan yang sukar musim ini, tetapi anak buah Marcelino kini hanya ketinggalan tiga mata dari kedudukan empat teratas La Liga, dengan perlawanan akhir Copa del Rey menentang Barcelona akan berlangsung tidak lama lagi.
"Kami bangga dengan persembahan skuad ini, kami berada di separuh akhir dan juga di perlawanan akhir, dan kami perlu satu kemenangan lagi untuk kedudukan empat teratas," tambah Marcelino.
"Kemenangan Sevilla (ke atas Real Betis pada hari Ahad) akan meletakkan kami pada situasi yang terbaik."