'Tiada Sesiapapun Sukakan Kekalahan, Tetapi Kita Perlu Bangkit Semula!' - Roberto Firmino




Roberto Firmino menekankan betapa pentingnya buat Liverpool untuk kembali bangkit menentang Brighton and Hove Albion hujung minggu ini selepas mengharungi dua kekalahan berturut-turut bagi tahun 2019.
Pendahulu Liga itu menyaksikan jurang mata dirapatkan kepada empat selepas mereka tewas 2-1 kepada Manchester City di Etihad minggu lalu, sebelum mereka disingkirkan pada pusingan ketiga Piala FA menentang Wolves juga dengan keputusan yang sama.
Perubahan besar dalam kesebelasan utama yang diturunkan Jurgen Klopp menentang Wolves telah menjadi topik perbincangan hangat, tetapi pengurus Jerman itu akan kembali menurunkan barisan terkuatnya apabila The Reds bertandang ke Stadium Amex Sabtu ini.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kekalahan selalunya adalah tidak begitu baik, tiada sesiapa sukakan kekalahan, dan pastinya bukan saya," kata Firmino kepada laman web rasmi Liverpool. 
"Tetapi sekarang kami perlu bangkit semula. Kami telah berusaha keras setiap hari jadi kami sudah bersedia untuk perlawanan hujung minggu ini. Ia akan menjadi perlawanan yang besar, perlawanan yang sukar dan kami akan melakukan segalanya untuk membawa balik tiga mata.
"Itulah Liga Perdana Inggeris - ia sangat kompetitif. Jika pasukan dikedudukan teratas membuat silap, pasukan di tempat kedua akan memintas mereka.
"Kami tahu kami tidak boleh leka dan kehilangan mata dengan mudah. Kami perlu kekalkan fokus sehingga ke penghujung musim ini."
Rakan sepasukan Firmino, Mohamed Salah telah dinobatkan sebagai 'Pemain Tahunan Terbaik Afrika' untuk kali kedua minggu ini, sebelum meraikannya di atas pentas dengan satu tarian yang kelihatan sangat janggal.
"Saya menontonnya menerusi internet!" kata Firmino.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada dia atas penganugerahan itu.
"Dan ya, saya melihat mereka cuba membuat dia menari... dia mencuba, tetapi saya tidak fikir itu adalah 'Forte'nya!
"Saya akan bertanya kepadanya kemudian. Kekuatannya adalah bermain bola sepak dan menjaringkan gol, itulah apa yang kami tahu."