Reaksi Sadio Mane Tentang Penampilannya Yang Ke-100 Buat Liverpool Dan Kekalahannya Kepada Salah Dalam Anugerah Pemain Terbaik Afrika!




Sadio Mane telah menyifatkan bermain untuk Liverpool sebagai 'sesuatu yang luar biasa' ketika dia bersiap sedia untuk membuat penampilannya yang ke-100 untuk kelab itu.
Pemain bernombor 10 itu akan mencapai 100 penampilan buat The Reds jika dia diturunkan menentang Brighton dan Hove Albion pada hari Sabtu ini, dengan 99 penampilannya bersama The Reds sehingga kini telah menghasilkan 42 gol.
"Sudah tentu, ia sangat bermakna buat saya," kata Mane kepada pihak produksi Liga Perdana mengenai prospek mewakili Liverpool untuk ke-100 kali.
"Untuk bermain dalam sebuah kelab seperti Liverpool adalah sesuatu yang luar biasa. Saya selalu berkata, saya sangat gembira bermain untuk kelab ini. Setiap hari saya gembira berada di sini dan saya tidak sabar untuk bermain perlawanan yang ke-100 untuk saya. Ianya sangat bermakna.
"Terima kasih kepada semua orang - kelab, peminat dan jurulatih untuk kepercayaan itu. Saya akan cuba melakukan segala-galanya dengan rakan sepasukan saya untuk memenangi sesuatu untuk kelab ini. "
Pasukan Jurgen Klopp akan bergerak ke pantai selatan selepas mengalami kekalahan 2-1 berturut-turut menentang Manchester City dan Wolverhampton Wanderers.
Kekalahan pada hari Khamis lalu di Stadium Etihad telah merapatkan jurang mata The Reds di puncak Liga Perdana Inggeris kepada empat mata, sementara perlawanan menentang Wolves selang empat hari kemudian dalam saingan Piala FA menyaksikan mereka tewas dan tersingkir.
Mane, bagaimanapun, dapat merasakan keazaman dalam skuad untuk kembali memenangi perlawanan dengan ujian pertama adalah menentang Brighton.
"Pengurus sangat, sangat positif," kata penyerang itu.
"Dia mempunyai banyak pengalaman dan dia tahu dalam bola sepak [kekalahan] boleh berlaku. Tindak balas adalah perkara yang paling penting. Semua orang lebih fokus dan tahu betapa pentingnya kemenangan pada hari Sabtu ini.
"Kami tahu ia tidak akan mudah tetapi kami mempunyai kualiti dan kami akan cuba melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan itu."
Awal minggu ini, Mane telah menghadiri majlis anugerah Pemain Terbaik Afrika (CAF) 2018 di tanah airnya di Senegal.
Untuk tahun kedua berturut-turut, pemain berusia 26 tahun itu menduduki tempat kedua di belakang Mohamed Salah yang menerima anugerah itu, tetapi dia percaya rakan sepasukannya itu layak untuk penghargaan tersebut.
Mane meneruskan: "Secara jujur, dia sememangnya layak. Beliau mempunyai musim yang luar biasa untuk kami tahun lalu dan menjaringkan banyak gol, sangat banyak.
"Saya rasa dia layak dan saya gembira untuk dia. Malangnya, saya tidak memenanginya - tetapi itu tidak menjadi masalah. Saya akan bekerja lebih keras lagi dan berharap mungkin berpeluang pada masa akan datang. "