Nemanja Matic Beri Amaran Kepada Arsenal Dan Chelsea Mengenai Peluang Merebut Tempat Ke Liga Juara-juara Musim Depan!




Nemanja Matic menegaskan Manchester United mempunyai lebih daripada cukup untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan empat teratas musim ini. 
The Red Devils berada 11 mata di belakang tempat keempat Chelsea ketika Jose Mourinho dipecat pada pertengahan Disember yang lalu tetapi kini mereka ketinggalan kepada The Blues dengan hanya tiga mata. 
Hanya tiga mata yang memisahkan United, Arsenal dan Chelsea tetapi The Red Devils kini merupakan antara pasukan yang beraksi cemerlang dengan berjaya mendapatkan tujuh kemenangan berturut-turut di bawah Solskjaer. 
Dan Matic telah membuktikan bahawa keyakinan itu telah kembali pulih di Old Trafford dengan menegaskan bahawa kelab itu mampu untuk mengubah kedudukan semasa liga.
"Dalam Liga Perdana, ia sentiasa sukar, "kata Matic. 
"Kami akan berusaha memberikan yang terbaik untuk mencapai kedudukan keempat teratas sehingga akhir musim ini. 
"Pasukan di hadapan kami mempunyai kualiti dan mereka juga akan cuba bermain untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan. 
"Tetapi saya yakin bahawa kami mempunyai kualiti yang cukup untuk bersaing dengan mereka. 
"Kami akan memberikan yang terbaik dan kami akan cuba untuk menjadikan penyokong kami berasa gembira."
United menghadapi pesaing merebut tempat keempat dalam liga Arsenal dalam saingan Piala FA pada hujung minggu ini sebelum kembali ke aksi Liga Perdana Inggeris.
Pasukan bimbingan Solskjaer bakal menghadapi Burnley, Leicester dan Fulham dalam tiga perlawanan berikutnya dalam saingan liga sebelum menentang pasukan pilihan Liverpool di Old Trafford.