Mohamed Salah Mendedahkan Perbincangan Di Rehat Separuh Masa Yang Menjadi Inspirasi Kemenangan The Reds!




Liverpool kembali menjarakkan tujuh mata di puncak liga meninggalkan Manchester City selepas berjaya menewaskan Crystal Palace 4-3 di Anfield.
Pasukan Roy Hodgson telah berjaya menewaskan Manchester City pada bulan lalu yang hampir memusnahkan harapan mereka merebut kejuaraan liga dan sekali lagi dalam landasan yang sama untuk memberikan kekecewaan besar terhadap Liverpool hasil jaringan Andros Townsend yang membawa pasukan pelawat mendahului 1-0 di babak pertama perlawanan.
Walaubagaimanapun, Salah berjaya mengikat kedudukan beberapa minit selepas bermulanya babak kedua dan Roberto Firmino membawa The Reds mendahului 2-1 lapan minit kemudian. Tandukan oleh James Tomkins menerusi sepakan sudut berjaya membawa Palace kembali mengikat kedudukan di minit ke-65 sebelum kesilapan besar dari penjaga gol Palace Julian Speroni kembali membawa Liverpool mendahului hasil jaringan yang ke-50 buat Mohamed Salah di Liga Perdana Inggeris hanya dalam 72 penampilan.
Sadio Mane berjaya memastikan kemenangan buat The Reds di penghujung perlawanan tetapi masih memberi masa buat Max Meyer untuk mengundang beberapa detik mencemaskan buat Liverpool selepas dia berjaya merapatkan semula kedudukan kepada 4-3 di masa kecederaan. 
Ditanya apakah yang dibincangkan semasa rehat separuh masa selepas pasukannya ketinggalan, Salah menjawab: "Kami perlu kuat secara mental.
"Ini adalah masa yang sukar buat kami dan kami perlu berbincang dan menjadi kuat. Kami berbincang bersama dan pengurus juga memberikan kami maklumat yang kami bermain dengan baik dan selayaknya untuk menang perlawanan ini.
"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar tetapi mereka bermain dengan baik dan mereka sangat padat di hadapan kotak penalti.
"Pada akhirnya yang paling penting adalah hasil perlawanan, melepaskan tiga gol adalah sesuatu yang mengecewakan tetapi kami perlu menerimanya dan teruskan."