Van Dijk Jelaskan Mengapa Klopp Selayaknya Berasa Tidak Gembira Terhadap Pasukannya!




Virgil van Dijk mengakui, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selayaknya untuk tidak berasa gembira walaupun pasukan The Reds terus melakukan permulaan terbaik mereka dalam Liga Perdana Inggeris.
Klopp didapati kecewa, dengan teriakan-teriakan di tepi padang ketika pasukannya bekerja keras untuk menang 1-0 di Huddersfield Town pada petang Sabtu.
Pengurus Liverpool itu kemudian berkata bahawa dia "tidak marah" dengan persembahan tetapi menegaskan para pemain sepatutnya mengharapkan lebih baik dari diri mereka, walaupun memperolehi clean-sheet yang bermakna mereka telah mencipta rekod kelab dengan jumlah bolos terendah dengan tiga gol dalam sembilan perlawanan pertama mereka dalam satu musim.
Dan Van Dijk berkata: "Dia mempunyai hak untuk tidak berasa gembira. Dia adalah pengurus dan jelas sekali mahukan yang terbaik dari kita semua, yang terbaik untuk kelab dan mahu kita bermain dengan baik.
"Anda tidak akan menguasai setiap perlawanan dan bermain dengan baik setiap perlawanan tetapi melihat kepada cara bagaimana kami memainkannya adalah hasil yang baik untuk tetap mendapatkan clean-sheet.
"Itu semua adalah baik tetapi kita boleh lakukan lebih baik lagi, mungkin menjadikannya lebih mudah untuk diri kita sendiri.
"Pada beberapa ketika mereka (Huddersfield) membuatnya kelihatan lebih berbahaya daripada yang sebenarnya dan mereka mempunyai situasi di mana jika mereka melakukan sedikit lebih baik maka mereka akan dapat menjaringkan gol."
Klopp telah menyatakan kunjungan ke Stadium John Smith adalah "perangkap 100%", yang datang selepas rehat antarabangsa dengan Liverpool gagal memenangi mana-mana enam perlawanan sebelum ini menentang pasukan yang memulakan aksi (selepas rehat antarabangsa) di zon penyingkiran.
"Ianya sukar selepas rehat antarabangsa," kata Van Dijk. "Anda hanya berlatih untuk satu atau dua hari bersama-sama dan anda cuba bersiap sedia sebaik mungkin. Saya rasa kita berjaya melakukannya.
"Bagi kami, kami hanya gembira kerana kami menang. Permainan ini sangat penting untuk kami.
"Kami mengetahuinya (adalah perangkap) dan kami tahu kekuatan mereka, yang mereka telah tunjukkan pada masa-masa tertentu. "
Liverpool akan turun beraksi pada hari Rabu ini apabila mereka melayan kunjungan juara dari Serbia Red Star Belgrade dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara mereka yang terakhir.
The Reds berada di tangga kedua di Group C selepas mendapat kemenangan 3-2 ke atas Paris Saint-Germain namun tewas 1-0 menentang Napoli di Itali.
Daripada lapan kemenangan Liverpool musim ini, hanya tiga perlawanan yang datang dengan lebih daripada satu gol dan Van Dijk mengakui membawa pasukan untuk menang mudah adalah penting.
"Itulah yang kami cuba," kata pemain pertahanan Belanda itu. "Saya fikir semua orang memberikan semuanya. Jelas sekali kita mempunyai beberapa perkara untuk diperbaiki di bahagian hadapan dan juga di belakang.
"Rabu akan menjadi satu perlawanan yang baik untuk bermain menentang lawan yang sangat baik. Ini adalah satu lagi malam Liga Juara-Juara di Anfield dan saya yakin kami akan pulih dari aksi hujung minggu dan pastikan kami bersedia.
"Kita perlu menghormati lawan. Mereka berada di Liga Juara-juara -pertandingan terbaik di Eropah selain Liga Perdana-  dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar."
Jaringan pertama Mohamed Salah di tempat lawan yang kali terakhir pada 21 April membantu mereka mendapatkan kemenangan pada hujung minggu, mengakhiri empat perlawanan tanpa gol dari bintang Mesir itu.
Dan Van Dijk menambah: "Ianya penting untuk semua orang tetapi, tentu saja, ianya baik untuk dia menjaringkan gol.
"Saya sangat gembira untuk dia tetapi saya tidak ada sebarang keraguan yang dia akan menjaringkan gol lagi kerana dia adalah seorang pemain yang hebat."