Mourinho Berkata Menentang Juventus Tiga Hari Selepas Menentang Chelsea Bukanlah Mimpi Buruk!




Jose Mourinho berkata menghadapi Juventus tiga hari selepas menentang Chelsea bukanlah "mimpi buruk", dan memberitahu pasukan bimbingannya Manchester United untuk menikmati pertemuan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tersebut menentang juara Serie A.
United terikat 2-2 dengan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Sabtu lalu, dan kini bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan Juve ke Old Trafford pada malam Selasa.
Kemenangan untuk United akan menyaksikan mereka mengatasi Juventus di puncak Kumpulan F, dan Mourinho berada dalam keadaan yang yakin dengan dia bakal menghadapi kelab gergasi Serie A itu buat kali pertama dalam pertandingan Eropah.
"Ia adalah tahap lawan dalam bola sepak yang anda mahukan, berada di Liga Juara-Juara," katanya kepada laman web kelab itu. "Anda tidak boleh berada di Liga Juara-Juara dan berharap tidak bermain dan tidak dapat menikmati lawan-lawan seperti ini.
"Saya fikir mereka sentiasa menjadi calon juara dan, musim ini, mereka adalah lebih daripada sebagai calon juara sahaja, jadi ianya hebat buat kami. Saya berkata sebelum perlawanan menentang Chelsea bahawa Chelsea-Juventus dalam masa tiga hari, untuk sesetengahnya akan berkata ianya adalah mimpi buruk.
"Bagi saya, ia bukanlah mimpi buruk, ia adalah tempat di mana saya mahukan dan saya fikir saya agak berjaya memberikan perasaan ini kepada anak-anak buah saya sebelum perlawanan menentang Chelsea.
"Saya fikir ia lebih mudah sekarang untuk memberikan perasaan yang sama untuk perlawanan ini dan kami perlu menikmatinya. Tiada siapa yang boleh menghentikan keinginan kami untuk bermain permainan itu dan cuba untuk menang."
United tidak berhadapan dengan Juventus di saingan Eropah selama 15 tahun, namun perlawanan itu penuh dengan sejarah, terutama sekali pertemuan kedua separuh akhir pada 1999 apabila pasukan Sir Alex Ferguson bangkit untuk meraih kemenangan untuk mara ke perlawanan akhir dan mendapatkan kejuaraan berganda-ganda pada musim itu.
Dari banyak sub-plot tentang pertemuaan pada Selasa itu, semua akan melihat Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford untuk kali kedua sejak dia meninggalkan kelab tersebut pada tahun 2009.
Mourinho bertanggungjawab ke atas Real Madrid ketika Ronaldo menjaringkan dua gol untuk mengalahkan United dalam saingan Liga Juara-Juara lima tahun yang lalu.
Dan meskipun Mourinho berkata Ronaldo "sangat menyayangi" kelab tersebut, pengurus United itu menekankan perasaan itu tidak akan menghalang penyerang Juventus itu dari keinginannya untuk mengalahkan, dan menjaringkan gol, menentang bekas pasukannya.
"Dia kembali ke sini bersama saya di Real Madrid [pada tahun 2013]. Ia adalah perlawanan kalah mati [di peringkat 16 terbaik], dan saya tahu betapa dia sayangkan Manchester United," tambah Mourinho.
"Saya tahu itu tetapi saya juga tahu betapa dia mahu menang perlawanan di sini dan menjaringkan gol menentang Manchester United dan menang menentang Manchester United, kerana dia pernah melakukannya dengan Real.
"Dia menjaringkan gol dan mereka menang. Peminat akan menunjukkan rasa hormat yang selayaknya dia dapatkan. Dia juga akan tunjukkan kepada peminat perkara yang sama.
"Saya tahu dia benar-benar menyukai kelab ini tetapi apabila bola sduah mula bergolek, dia tetap mahu menjaringkan gol dan dia mahukan kemenangan."