Jose Mourinho Mengesahkan Alexis Sanchez Bakal Diturunkan Menentang Wolves!




Jose Mourinho mengakui bahawa tiga kemenangan berturut-turut tidak mengubah pendapatnya yang Manchester United berada dalam musim yang sukar.
Pengurus Portugis itu meramalkan pada musim panas yang lalu bahawa pasukan bimbingannya bakal melalui musim yang sukar meskipun berjaya menewaskan Burnley, Watford dan Young Boys, pendiriannya tetap tidak berubah.
"Saya seorang yang optimistik, tetapi mengenai melalui musim yang sukar itu, ya," kata Mourinho. "Sudah pasti musim yang sukar. Saya tidak mengubah pendapat itu hanya kerana kami memenangi dua perlawanan berturut-turut di Liga Perdana Inggeris. Ianya pasti musim yang sukar.
"Anda dapat melihat tahap pasukan yang lain - anda lihat pasukan Liverpool, City, Chelsea, Arsenal, Tottenham semuanya menunjukkan peningkatan. Ianya sangat sukar."
Mourinho mengatakan yang pasukannya akan melalui kesukaran untuk mencapai 81 mata seperti yang mereka dapatkan musim lalu - Kutipan mata terbaik mereka selepas bersaranya Sir Alex Ferguson.
United akan menentang Wolves pada sabtu ini dengan berpeluang meneruskan rentak kemenangan mereka kepada empat perlawanan berturut-turut untuk kali pertama sejak bulan Januari, dan Mourinho yakin yang pasukannya telahpun meningkat berbanding musim lepas.
"Saya tidak katakan yang kami bakal memperolehi mata yang lebih besar berbanding musim lepas kerana musim lepas kami mendapatkan mata yang selayaknya kami dapatkan," kata Mourinho. "Saya fikir kami akan menjadi pasukan yang baik. Kami akan bermain dengan lebih baik tapi saya fikir ia adalah satu musim yang sukar.
"Bukan sahaja untuk kami, begitu juga pasukan yang lain, kerana mereka juga akan mengatakan sama seperti yang saya katakan sekarang, 'oh Manchester United satu pasukan yang bagus, City juga sebuah pasukan yang bagus'. Semua mereka pasti akan mengatakan hal yang sama."
Mourinho mengesahkan yang Sanchez bakal diturunkan pada sabtu ini menentang Wolves meskipun hanya duduk di bangku simpanan ketika menewaskan Young Boys di mana penggantinya Anthony Martial berjaya menjaringkan gol.
Bintang Chile itu masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat perlawanan musim ini dan hanya menjaringkan tiga gol dalam 22 perlawanan sejak tiba dari Arsenal.
Mourinho menolak teguran secara jelas kepada pemain berusia 29 tahun itu tetapi untuk menjawab soalan terutama melibatkan Sanchez, dia mencabar pasukannya untuk menjadi lebih baik.
"Sanchez akan bermain kerana Martial bermain 90 minit ketika menentang Young Boys. dan Sanchez tidak bermain," kata Mourinho. "Semua pemain mempunyai tahap yang perlu diperbaiki."