Nasihat Lallana Untuk Pemain Baru Liverpool Naby Keita dan Fabinho!




Bintang Liverpool Adam Lallana membincangkan tentang betapa pentingnya latihan pramusim buat pemain baru Liverpool Fabinho dan Naby Keita.
The Reds telah melengkapkan tiga perpindahan pemain setakat ini dan yang terbaru adalah Xherdan Shaqiri dari Stoke City.
Sementara Shaqiri baru sahaja bekerjasama dengan rakan sepasukannya yang baru, Keita dan Fabinho pula telah terlibat dalam sesi latihan bersama pasukan sejak permulaan pramusim ini dan sudahpun membuat penampilan dalam beberapa perlawanan pemanasan badan sebelum bermula musim ini.
Dan Lallana - yang dalam usaha untuk kembali ke prestasi terbaiknya bersama Liverpool selepas banyak menghabiskan masa di luar padang akibat kecederaan - telah membincangkan tentang betapa pentingnya pramusim ini untuk pemain-pemain baru itu.
"Semua orang akan mengatakan kepada anda betapa pentingnya anda bermain di atas padang bersama rakan sepasukan yang baru untuk lebih mengenali," kata Lallana kepada LFCTV.
"Fabinho perlu tahu bola yang bagaimana saya suka dan di mana saya mahu menerima hantaran.
"Bermain dengan Keita anda perlu tahu larian bagaimana yang dia suka lakukan.
"Hanya perkara kecil jika anda tidak bermain bersama, anda tidak akan tahu.
"Sekali lagi, sebab itulah mengapa perlawanan semasa pramusim ini sangat penting dan sangat baik untuk Fabinho dan Keita untuk bermula di sini daripada awalnya.
"Fab boleh membina hubungan dengan pemain bahagian pertahanan manakala Naby boleh berhubung dengan pemain-pemain sayap dan pemain tengah yang lain.
"Saya tahu mereka adalah pemain yang baik, tapi saya masih belum dapat pastikan apa kekuatan dan mungkin kelemahan mereka.
"Tetapi sepanjang pramusim ini apabila kita memulakan jelajah kita, ianya penting untuk mengenali mereka bukan sahaja di atas padang tetapi juga luar padang dan saya pasti akan ada masanya kami akan saling memerlukan kerana ia adalah sebahagian daripada pendekatan untuk mendapatkan semangat berpasukan jika anda mahu mencapai sesuatu yang hebat sepanjang musim nanti."