Eden Hazard Beri Bayangan Mahu Tinggalkan Chelsea Dan Berpindah Ke Real Madrid!




Eden Hazard mahu meninggalkan Chelsea pada musim panas ini dan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Real Madrid, menurut laporan di Perancis. 
Selepas kempen Piala Dunia yang mengagumkan bersama pasukan Belgium, masa depan pemain berusia 27 tahun itu di Stamford Bridge tidak menentu menjelang musim baru ini. 
Berikutan kemenangan Belgium ke atas England dalam perlawanan penentuan tempat ketiga mereka, Hazard memberi petunjuk jelas bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan Chelsea.
"Selepas melalui enam tahun yang indah di Chelsea, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari sesuatu yang berbeza, "kata pemain tengah itu. 
"Tentu sekali selepas Piala Dunia ini. Saya boleh membuat keputusan jika saya mahu kekal atau pergi, tetapi Chelsea akan membuat keputusan akhir mengenai itu- jika mereka mahu saya pergi. Anda tahu destinasi pilihan saya."
Menurut RMC Sport, Real Madrid sedang aktif untuk menandatangani Hazard musim panas ini. 
Dan laporan itu mendakwa bahawa pemain Belgium itu sudahpun bersetuju secara lisan dengan pihak pengurusan kelab Sepanyol tersebut. 
Namun, Madrid masih belum lagi mencapai sebarang persetujuan dengan pihak Chelsea.
Pemain tengah itu masih mempunyai dua tahun lagi baki dalam kontrak semasanya tetapi nilainya akan menurun secara drastik jika dia gagal menandatangani perjanjian baru dan kekal di Stamford Bridge untuk musim yang akan datang. 
Minggu lalu, laporan mendakwa bahawa Chelsea akan menuntut sekurang-kurangnya bayaran sebanyak £ 200 juta dari Madrid untuk mendapatkan Hazard.
Sementara itu pada hari Selasa, RMC Sport juga melaporkan bahawa Chelsea dan Madrid telah bersetuju dengan bayaran perpindahan sebanyak £ 31 juta untuk Thibaut Courtois dan penjaga gol Belgium itu bersetujuh untuk menandatangani kontrak selama empat tahun dengan pasukan juara bertahan Liga Juara-juara sebanyak tiga kali berturut-turut.