Aksi Memukau Sadio Mane, Mo Salah dan Firmino Bantu Liverpool Belasah Porto... Apa Kata Jurgen Klopp?




Jurgen Klopp memuji persembahan Sadio Mane dan Mohamed Salah selepas aksi cemerlang mereka dalam kemenangan besar Liverpool di Porto pada hari Rabu.
Mane menjaringkan hatrik ketika Liverpool mengawal sepenuhnya perlawanan dalam pertembungan pusingan 16 Liga Juara-juara untuk pusingan yang pertama.
Ia menandakan kembalinya tahap kecemerlangan untuk pemain antarabangsa Senegal itu, dan Klopp berkata: "Dia memberi jawapan yang tepat, itu bagus. Saya berkata kepadanya selepas perlawanan terakhir ini 'akhirnya anda kembali' selepas kami bercakap di lapangan.
"Malam ini dia menunjukkan lagi betapa hebatnya permainannya, dia selalu penting. Dia sentiasa hebat buat kami, walaupun dalam masa-masa yang tidak bagus. Itulah kualiti sebenar jika anda tidak 100 peratus dan masih mampu menjaringkan gol, mungkin tidak begitu kerap tapi terlibat dalam jaringan gol maka itu sangat penting.
"Kemudian ia akan datang jika anda terus bekerja keras seperti yang dilakukannya maka akan muncul saat seperti ini. Gol yang pertama adalah sedikit bernasib baik, tetapi kemudian kedua-dua gol yang lain berada di tempat yang betul  dan dengan menggunakan kemahiran anda yang hebat untuk gol yang terakhir. Baik, sangat baik, dan saya gembira mengenainya. "
Salah juga tersenarai dalam senarai penjaring dalam kemenangan Liverpool menentang Porto yang menjadikan jumlah jaringannya kepada 30 dalam semua pertandingan.
Dia adalah pemain terpantas yang kedua untuk menjaringkan gol dengan jumlah itu untuk Liverpool, dan Klopp berkata: "Dia mempunyai musim yang baik. Saya menyedari hal itu, tetapi tentu saja ia sangat penting bagi kami. Saya rasa setiap gol adalah gol kemenangan dan itu sangat penting.
"Kami bercakap tentang Mo dalam beberapa minggu terakhir ini, ia sangat layak, tetapi jelas Sadio telah menemui sentuhannya kembali malam ini, sangat baik, dan Roberto [Firmino] berada di sana sekali lagi selepas kerja keras yang luar biasa sepanjang di atas padang. Ia baik. Ox [Alex Oxlade-Chamberlain] begitu juga. Tahniah tapi harapnya dia [Salah] tidak akan berhenti. "
Hasil keputusan untuk pusingan pertama ini bermaksud perlawanan pusingan kedua di Anfield nanti pada 6 Mac harus menjadi formaliti dan Klopp mungkin membuat sedikit putaran pemain sebelum mereka bertembung dengan Manchester United dalam saingan liga pada hujung minggu.
Walau bagaimanapun, pengurus Liverpool berkata saingan itu belum berakhir lagi. "Tidak semestinya tidak, kenapa perlu saya lakukan itu? Kami datang ke sini untuk membuat asas yang kukuh untuk perlawanan kedua di Anfield - dan itulah yang kami lakukan, tidak lebih, tidak kurang.
"Seperti yang saya katakan beberapa kali, saya terlalu lama dalam bidang ini untuk memikirkan apa-apa yang diputuskan sebelum wisel penamat dibunyikan. Kami berhutang dengan penyokong kami di Anfield dengan persembahan yang 100 peratus dan itulah yang kami mahu lakukan. Itu sahaja."
Jurulatih Porto, Sergio Conceicao merasakan bahawa pasukannya membenarkan permainan itu untuk berlalu tanpa memihak kepada mereka pada keputusan 2-0 ketika mereka masih berpeluang untuk mendapatkan sesuatu.
"Kami memulakan permainan dengan lebih baik, kami juga berpeluang melalui Otavio dalam 20 minit pertama," katanya.
"Pada satu ketika, kami berusaha untuk keluar dengan cepat dari belakang dalam satu langkah yang bermula dengan penjaga gol kami tetapi kami kehilangan penguasaan bola dan melepaskan gol yang pertama.
"Kami turut membuat beberapa lagi kesilapan yang akhirnya mengecewakan kami, terutamanya sekali menentang pasukan yang mempunyai kekuatan serangan seperti itu.
"Kami bertindak balas dengan baik untuk kembali bangkit tetapi kemudian ketinggalan dua gol kerana kami terlalu pasif. Dari sana, ia menjadi lebih sukar."